OGOS 2025

Sungai Sarawak Mula Perkenal Perahu Tambang Elektrik Sebagai Satu Inisiatif Pengangkutan Lebih Mesra Alam Dan Lestari


KUCHING, 30 Ogos 2025 - Sarawak melangkah satu lagi ke hadapan apabila perahu tambang elektrik pertama yang lebih mesra alam dan lestari mula diperkenalkan untuk digunakan di Sungai Sarawak.

Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg meninjau sendiri pelaksanaan perahu tambang elektrik atau lebih dikenali sebagai E-Penambang di Sungai Sarawak malam pada Sabtu.

Premier Sarawak yang tiba di Pangkalan Sapi, Kuching kira-kira jam 9 malam disambut mesra Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Haji Ibrahim bin Haji Baki, Datuk Bandar Kuching Utara Dato Haji Hilmy bin Haji Othman dan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Ramzi bin Abdillah.

Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari turut merasai sendiri pengalaman menaiki E-Penambang ini dan menelusuri Sungai Sarawak kira-kira selama satu jam perjalanan.

Terdahulu, Premier Sarawak diberikan taklimat ringkas daripada DBKU dan Sarawak Energy Berhad (SEB) mengenai operasi E-Penambang ini.

Pada masa ini sembilan buah perahu tambang telah mengambil bahagian dan dilengkapi dengan sistem elektrik yang dipasang oleh SEB.

Melalui projek ini, enjin petrol digantikan dengan sistem pendorong elektrik berkuasa bateri yang mampu beroperasi secara senyap, tanpa pelepasan karbon, dan pada masa sama menurunkan kos operasi.

Bagi memperkukuh operasi ini, sebuah stesen pengecasan solar berkapasiti 19.84kWp telah dibangunkan di Jeti Pontun Kampung Sungai Bintangor, lengkap dengan 10 port pengecasan di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

Stesen ini menggunakan teknologi PV Suria dwimuka dalam pembinaannya, dengan potensi untuk digabungkan bersama sumber tenaga boleh diperbaharui lain seperti bateri simpanan dan hidrogen pada masa hadapan.

Projek ini mula diperkenalkan tahun lepas selepas mendapat kelulusan Premier Sarawak, sebagai sebahagian daripada inisiatif menyokong agenda ekonomi hijau yang digerakkan oleh Kerajaan Sarawak, dengan turut melibatkan pengusaha perahu tambang.

Inisiatif E-Penambang ini tidak hanya memperkukuh identiti pengangkutan sungai Kuching, tetapi turut mencerminkan usaha berterusan Sarawak dalam mengangkat agenda pembangunan hijau, mengintegrasikan inovasi tenaga moden dengan tradisi setempat ke arah kelestarian.

Perahu tambang sememangnya dekat dengan identiti bandar raya Kuching, khususnya di Sungai Sarawak, dan hasil kajian mendapati ia hanya beroperasi di sungai tersebut.